KUALA LUMPUR – Berikutan janji yang pernah dibuat oleh Nurul Izzah Anwar untuk membawa kumpulan rock, Radiohead, ke Malaysia sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, netizen kini mula tertanya-tanya bila janji tersebut akan dikotakan.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata janji berkenaan akan diuruskan selepas selesai Ramadan bagi menghormati bulan mulia itu, di samping memberi laluan kepada isu-isu lain yang lebih memerlukan perhatian.

“Kita kena follow fiqh of priorities (iaitu) mengikut prinsip keutamaan (dalam Islam). Ramadan bulan untuk mencari pahala. Saya akan bawa selepas Ramadan.

“Kita (juga perlu) jaga ekonomi (Malaysia) dulu,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Bicara Nine11 terbitan Bernama News Channel di sini hari ini.

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar

Anak sulung pasangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu berkata beliau komited untuk menunaikan janji yang dibuatnya lima tahun lalu.-BERNAMA