Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras 1,775.66 iaitu susut 28.59 mata berbanding 1,804.25 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketika dibuka, indeks utama menambah 4.07 mata kepada 1,808.32 dan bergerak dalam lingkungan antara 1,768.18 dan 1,809.90 sepanjang tempoh dagangan hari ini.

Peniaga berkata, paras hutang semasa negara yang melebihi RM1 trilion berkemungkinan menjejaskan keyakinan pelabur tempatan serta asing terhadap bursa tempatan.

Namun, matlamat kerajaan untuk melaksanakan langkah menangani hutang negara yang kini meliputi kira-kira 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) termasuk membatalkan dan mengkaji semula projek-projek mega serta tindakan memotong gaji menteri, menjadi antara usaha bagi memulihkan keyakinan pelabur untuk kemajuan masa depan.

Di peringkat serantau, seorang peniaga berkata, kebanyakan saham Asia juga mendapat tempias berikutan kebimbangan baharu mengenai rundingan dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dalam pada itu, di peringkat tempatan, saham Maybank susut 42 sen kepada RM10.26, TNB turun 18 sen kepada RM14.76, Public Bank rugi 74 sen kepada RM24.36, CIMB merosot 17 sen kepada RM6.05 manakala IHH Healthcare turun 14 sen kepada RM6.18.

Saham-saham aktif pula menyaksikan Sapura Energy susut 2.5 sen kepada 69 sen, MyEG merosot 12 sen kepada 79.5 sen, Hibiscus Petroleum kehilangan setengah sen kepada 95 sen manakala Eduspec tidak berubah pada tujuh sen namun Priceworth International menokok dua sen kepada 24 sen.

Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 752 berbanding 235 dengan 375 kaunter tidak berubah, 542 tidak didagangkan dan 22 lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.87 bilion unit bernilai RM3.86 bilion berbanding 2.69 bilion unit bernilai RM3.34 bilion pada Rabu.

Indeks FBM Emas merosot 184.10 mata kepada 12,395.96, FBM Ace kehilangan 68.99 mata kepada 5,152.07 dan Indeks FBMT 100 turun 184.81 mata kepada 12,197.96.

Indeks FBM Emas Shariah turun 113.03 mata kepada 12,467.95 manakala FBM 70 merosot 182.23 mata kepada 14,654.83.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan merosot 422.31 mata kepada 17,722.89, Indeks Perusahaan berkurangan 33.92 mata kepada 3,197.95 manakala Indeks Perladangan susut 43.89 mata kepada 7,837.53.

Jumlah dagangan di pasaran utama meningkat kepada 1.80 bilion saham bernilai RM3.69 bilion berbanding 1.58 bilion saham bernilai RM3.16 bilion pada Rabu.

Dari segi waran, ia meningkat kepada 812.43 juta unit bernilai RM127.46 juta berbanding 784.23 juta unit bernilai RM121.32 juta, sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 253.96 juta saham bernilai RM46.95 juta berbanding 328.17 juta saham bernilai RM55.91 juta yang dicatatkan semalam.

Barangan pengguna menyumbang sebanyak 44.74 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (263.43 juta), pembinaan (122.44 juta), perdagangan dan perkhidmatan (921.60 juta), teknologi (62.69 juta), infrastruktur (38.53 juta), SPAC (1.51 juta), kewangan (151.36 juta), perhotelan (7.0 juta), hartanah (131.62 juta), perladangan (43.45 juta), perlombongan (89,500), REIT (9.97 juta) dan dana tertutup (14,500l). -BERNAMA