Dr. Wan Azizah Wan Ismail menerima nota serah tugas dari bekas Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim (kanan) pada Majlis Serah Tugas Bekas Menteri KPWKM di Ibu Pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2018

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan mengambil pendekatan yang dibentuk oleh tiga paksi utama dalam tugasnya memikul tanggungjawab besar membina kesejahteraan masyarakat menerusi kementerian kedua yang diamanahkan kepadanya.

Katanya, tiga paksi itu ialah penglibatan, pengupayaan dan pemulihbaikan yang akan dilakukan beliau bersama seluruh anggota kementeriannya dengan melibatkan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan berkepentingan dalam program yang akan diadakan.

“Bagi mengukuhkan lagi pendekatan ini, kita juga akan melibatkan pemimpin di peringkat komuniti kerana penekanan kita ialah mengupayakan komuniti agar lebih urus kendiri dalam mengatasi pelbagai masalah sosial.

“Natijah yang kita hasratkan ialah memulihbaik komuniti dan degan ini meningkatkan kualiti kehidupan di perngkat komuniti,” katanya pada sidang media pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri di KPWKM di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau yang tiba di bangunan kementerian itu pada jam 8.50 pagi disambut Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Suriani Ahmad bersama kira-kira 200 pegawai dan kakitangan kementerian.

Beliau kemudian mengetik kad perakam waktu tepat jam 9 pagi sebagai tanda permulaan tugasnya sebagai menteri di kementerian itu.

Dr. Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri kemudian dibawa ke pejabatnya di tingkat 38 untuk majlis penyerahan nota serah tugas dengan mantan menteri, Datuk Seri Rohani Karim.

Pada sidang media itu juga, beliau memberitahu wartawan akan keputusannya untuk mengukuhkan lagi Projek Pembangunan Model Pengukuhan Keluarga dan Komuniti (FACE) yang dilaksanakan menteri sebelum ini di 18 komuniti di seluruh negara.

“Malah, saya akan mendapatkan peruntukan tambahan untuk menjayakan program ini,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan banyak janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) melibatkan tugas di bawah kementerian itu, beliau akan berbincang dengan kepimpinannya mengenai pelan tindakan yang akan diambil.

Antaranya, ujar beliau, perkara utama yang akan dilakukan dalam masa terdekat ini ialah bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bagaimana kaedahnya menyediakan pelan tindakan memberi caruman KWSP kepada suri rumah.

“Saya juga akan berbincang dengan pengurusan tertinggi kementerian ini mengenai langkah untuk meningkatkan keefisyenan dan penyampaian perkhidmatan dalam konteks kekangan masa yang kita hadapi ketika ini.

“Pembaziran dan penyelewengan yang berlaku sebelum ini bererti kerajaan PH perlu mengamalkan perbelanjaan berhemah. Saya ingin memastikan kita lakukan semua ini tanpa menjejaskan bantuan dan perkhidmatan yang diberikan kepada kumpulan sasaran,” katanya. – MalaysiaGazette