Justo
Xavier Andre Justo. foto FAREEZ FADZIL, 24 MEI 2018

PUTRAJAYA – Bekas Eksekutif PetroSaudi, Xavier Andre Justo telah meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini selepas dipercayai selesai selama empat jam bertemu dengan Pasukan Petugas Khas Siasatan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB).

Beliau yang hadir pukul 9 pagi bagi membantu penyiasatan pasukan petugas itu terhadap skandal yang menimpa 1MDB.

Difahamkan, Justo bertemu dengan anggota pasukan tugas buat kali pertama semalam.

Beliau yang merupakan warga Switzerland dijatuhi hukuman penjara tiga tahun pada 2015 selepas mengaku bersalah memeras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International.

Bagaimanapun, pada Disember 2016, Justo adalah antara ribuan tawanan asing yang diberikan pengampunan diraja oleh raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn Bodindradeva-rangkun.

Justo yang tiba di negara ini pada Jumaat lalu dituduh berkongsi maklumat mengenai 1MDB dengan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Justo juga bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebanyak dua kali minggu lalu.

Selasa lalu, Pasukan Petugas Khas Siasatan 1MDB mengadakan mesyuarat pertama mereka untuk membincangkan pemulihan aset; pengambilan wang dan aset yang diperoleh dari dana negara 1MDB; dan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang berkaitan dengan kes itu.

Ahli-ahli pasukan petugas itu dilantik oleh Mahathir melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abd Gani Patail; bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed; bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull. – MalaysiaGazette