Datuk Seri Azlan Man menerima watikah pelantikan dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Datuk Seri Azlan Man menerima watikah pelantikan dari Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

KUALA LUMPUR – Tidak sampai beberapa jam Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis, UMNO negeri bertindak memecat beliau daripada parti kerana ingkar arahan apabila menerima jawatan tersebut.

Tindakan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kerana Azlan masih berdegil dan tetap mahu menjadi MB walaupun tidak dipersetujui oleh sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang lain.

Katanya, UMNO Perlis yang bermesyuarat hari ini sebula suara bersetuju pemecatan Azlan dan keputusan tersebut telah dimaklumkan kepada Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO.

“Kami dengan ini mengumumkan pemecatan Azlan dari UMNO kerana tidak patuh dengan keputusan parti,” kata beliau dalam sidang media hari ini di PWTC.

Shahidan berkata, UMNO negeri di peringkat awal telah bersetuju untuk melantik ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim yang juga merupakan adik beliau sebagai menteri besar yang baharu.

Bagaimanapun, katanya, keputusan tersebut tidak dapat dilaksanakan apabila Azlan menerima jawatan tersebut.

Dengan pemecatan itu, Shahidan berkata Azlan kini berkeseorangan dan tidak mempunyai sokongan majoriti daripada ADUN lain.

“Beliau (Azlan) kini jadi ADUN bebas dan tidak ada majoriti,” katanya.

Azlan hari ini sah menjadi MB Perlis selepas mengangkat sumpah di Balai Menghadap, Istana Arau awal pagi tadi.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun, sembilan ADUN BN tidak hadir pada majlis mengangkat sumpah itu dan berada di Kuala Lumpur mengadakan pertemuan dengan Pemangku Presiden UMNO,  Ahmad Zahid bagi membincangkan kemelut tersebut.

Sebaliknya, hanya tiga ADUN Pakatan Harapan (PH) dan dua ADUN PAS hadir semasa majlis angkat sumpah itu. – MalaysiaGazette