KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia berkata, urusan pembelian tanah tersebut telah dibuat oleh Bank berlandaskan prinsip urus niaga tulus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.

Malah, urusan pembelian tanah ini mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan Bank Negara Malaysia.

Sehubungan dengan itu, Bank Negara Malaysia telah menyerahkan maklumat komprehensif mengenai pembelian tanah ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan kajian bebas dan menyeluruh.

Pada Januari lalu, Bank Negara Malaysia telah membeli 22.58 hektar tanah daripada kerajaan, pada harga RM2 bilion untuk digunakan sebagai penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam.

Tanah itu terletak bersebelahan dengan Kompleks Sasana Kijang BNM dan berhampiran dengan kompleks Asia School of Business (kerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology) dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sekarang ini sedang dalam pembinaan.

Urusan pembelian itu didakwa oleh Wall Street Journal telah digunakan untuk membayar hutang-hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), syarikat milik Kerajaan Abu Dhabi.

Laporan itu juga mendakwa Kementerian Kewangan telah menggunakan aset-aset kerajaan bagi membayar hutang entiti berkenaan. – MalaysiaGazette