Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya menjadi alat politik dan gagal mendengar permasalahan pemain industri, justeru keputusan kerajaan membubarkannya adalah wajar. 
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya menjadi alat politik dan gagal mendengar permasalahan pemain industri, justeru keputusan kerajaan membubarkannya adalah wajar. 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hanya menjadi alat politik dan gagal mendengar permasalahan pemain industri, justeru keputusan kerajaan membubarkannya adalah wajar.

Penasihat Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, agensi kerajaan tersebut tidak mendengar pandangan pemandu teksi terutamanya dalam isu perkhidmatan e-panggilan pengangkutan dan UBER.

“Saya sokong kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa agensi ini digunakan sebagai alat politik bukan untuk membantu pemain industri.

“Sebagai contoh, mereka bantu dan menyokong pihak syarikat UBER menjalankan operasi bagi mengaut keuntungan sehingga tidak mengikut proses… saya masih dengan pendirian lama mengkritik SPAD sebagai agensi yang bodoh dan pemalas,” kata beliau semasa sidang media di pejabatnya,di  Ampang Central hari ini.

Shamsulbahrin berkata, SPAD juga gagal menjaga kebajikan pemandu teksi sehingga menyebabkan mereka secara terbuka menukar sokongan kepada Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

“Kerajaan sepatutnya lindungi rakyat dan industri bukannya mempromosikan perkhidmatan lain.

“Suara kami diabaikan dan hari ini terbukti suara pemandu teksi lebih berkuasa daripada SPAD,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya Kerajaan baharu ini agar tidak mengulangi kesilapan lama pemerintahan terdahulu dan mengkaji semula perkhidmatan GRAB yang dilihat menjadi ancaman utama kepada pemandu teksi di Malaysia.

“Kami harap Kerajaan dapat mansuhkan khidmat GRAB ini kerana periuk nasi pemandu teksi telah ditutup serapatnya beberapa tahun lalu,” katanya lagi.

Selain itu, Shamsubahrin juga meminta agar Menteri Pengangkutan baharu dapat memansuhkan permit-permit teksi kepada kroni Kerajaan sebelum ini yang banyak memonopoli industri tersebut. – MalaysiaGazette