DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Wan Rosdy Wan Ismail.

CAMERON HIGHLANDS – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengakui bahawa beliau tidak pernah menjangka dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ke-15.

‘Pengakuan’ itu dibuat Wan Rosdy dalam ucapan pertama beliau di hadapan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Perasmian Masjid, Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan Sumbangan kepada Golongan yang Memerlukan di Kampung Raja di sini, hari ini.

Wan Rosdy dilantik sebagai menteri besar Pahang pada Majis Pelantikan dan Angkat Sumpah di Istana Abu Bakar, Pekan Selasa lalu menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah menjawat jawatan itu selama 19 tahun.

“… ini sememangnya tidak diduga dan berita (mengenai pelantikan) itu hanya diketahui patik pada tengah hari Selasa. Ia benar-benar mengejutkan kerana patik hanyalah wakil rakyat biasa sejak tahun 2004 sebelum dilantik sebagai Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada tahun 2008 hingga 2018.

“Patik menjunjung kasih atas pelantikan ini. Patik sedar betapa dengan jawatan ini datang tanggungjawab besar dan berat di bahu patik, namun seberat mana sekalipun, patik bersyukur dan yakin dapat melaksanakan amanah ini dengan baik dengan tunjuk ajar yang diberikan,” katanya.

Wan Rosdy dalam ucapannya juga memberi aku janji akan memastikan semua urusan petadbiran dilaksanakan demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat, dengan kerjasama daripada rakan-rakan Exco.

Selain itu, beliau juga berharap rakyat di Pahang melupakan perbezaan fahaman politik yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk kembali bersatu dan memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional.

“Sungguhpun pimpinan di Pahang berbeza daripada kerajaan Pusat, tetapi patik berharap kerjasama yang terjalin sebelum ini akan diteruskan bagi kemakmuran negeri yang akan ditingkatkan dari masa ke semasa,” katanya.

Mengenai pembinaan masjid baharu Kampung Raja yang dinamakan Masjid Al-Huda, Wan Rosdy berkata pembinaanya melibatkan kos sebanyak RM987,000 dengan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi menggantikan masjid lama yang dibuat daripada kayu.

— BERNAMA