KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Perlis membidas tindakan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dianggap sebagai luar batasan sehingga menderhaka kepada Raja Perlis hanya tidak berpuas hati dengan pelantikan Menteri Besar.

Ketua PPBM Kangar, Khizanif Khizan menggesa supaya Pengerusi Barisan Nasional Perlis itu dikenakan tindakan tegas kerana dilihat seolah-olah memperlekehkan institusi raja dengan berlaku biadap hanya kerana tidak berpuas hati individu mereka pilih tidak mendapat perkenan Tuanku.

“Kami PPBM Kangar juga mohon agar Tuanku Raja Perlis mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap penderhakaan Shahidan kepada baginda supaya menjadi contoh kepada semua bahawa tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan institusi di raja,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Khizanif turut menyifatkan Shahidan sebagai seorang yang kemaruk kuasa sehingga sanggup mengenepikan Raja Perlis.

Kemelut pelantikan MB Perlis bermula selepas Datuk Seri Azlan Man sah menjadi MB untuk penggal kedua apabila mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di Balai Menghadap, Istana Arau semalam.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Bagaimanapun, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN tidak hadir semasa majlis angkat sumpah tersebut.

Sebaliknya, Shahidan bersama sembilan ADUN itu semalam mengadakan sidang media menolak pelantikan Azlan dan juga mengumumkan pemecatannya daripada UMNO dan menjadikannya MB bebas buat kali pertama dalam sejarah. – MalaysiaGazette