Presiden PERKASA yang memohonkan perletakan jawatan, Datuk Ibrahim Ali bercakap kepada media pada sesi sidang akhbar khas di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2018
Presiden PERKASA yang memohonkan perletakan jawatan, Datuk Ibrahim Ali bercakap kepada media pada sesi sidang akhbar khas di Ibu Pejabat PERKASA, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai banduan paling istimewa di negara ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana hukuman bekas Timbalan Perdana Menteri dipercepatkan bagi membolehkan beliau keluar awal dari penjara.

Malah jelas beliau, prosedur operasi standard (SOP) Lembaga Pengampunan menjadi ‘terbalik’ gara-gara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu yang mendapat pengampunan serta-merta.

“Lebih istimewa, hari ini dapat pengampunan, esok mengadap Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada banduan lain yang dapat layan istimewa macam itu.

“Saya ucap tahniah kepada Anwar dapat kemudahan itu dan ahli politik yang sebelum ini dihukum, ampunlah sama untuk orang lain pula.

“Kalau orang lain tidak diampun, beliau diampun, beliau istimewalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di sini hari ini.

Pada 11 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berkata, Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V telah menyatakan kesediaan untuk memberikan pengampunan penuh dan segera kepada Anwar.

Mesyuarat Pengampunan Diraja itu sepatutnya diadakan pada 15 Mei tetapi ia ditangguhkan keesokan hari oleh Pejabat Perdana Menteri.

Pada tahun 2015, Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah kerana liwat. – MalaysiaGazette