Zafrul
Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) selesai melaksanakan penyusunan semula kepentingan pemilikan dengan Principal Financial Group (Principal) dalam syarikat usaha samanya, CIMB-Principal di seluruh ASEAN.

Kumpulan perbankan itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini berkata, selepas penstrukturan semula itu, kepentingan yang dimiliki Principal dalam CIMB-Principal Asset Management Group dan CIMB-Principal Islamic Asset Management meningkat kepada 60 peratus manakala CIMB sebanyak 40 peratus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz, syarikat usaha sama itu akan terus diuruskan secara bersama oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Katanya, pelaksanaan itu akan menyaksikan CIMB merekodkan keuntungan kira-kira RM920 juta dan peningkatan kira-kira 15 mata asas (bps) dalam nisbah CET1.

“”Pengurusan aset terus menjadi sebahagian penting daripada perniagaan perbankan serantau kami dan penyusunan semula pegangan saham ini membolehkan CIMB-Principal memiliki lebih banyak keupayaan dan meningkatkan kepakaran pelaburan global.

“Kami menjangkakan perubahan ini dapat meningkatkan keupayaan kumpulan untuk menghasilkan produk yang lebih baik kepada pelanggan sambil mewujudkan nilai jangka panjang yang mampan bagi CIMB,” katanya dalam satu kenyataan.

Tengku Zafrul menambah, pihaknya dapat merealisasikan keuntungan menarik daripada pelaburan strategik di dalam CIMB-Principal dan berharap untuk meneruskan usaha sama sebagai pemegang saham sebanyak 40 peratus.

CIMB dan Principal telah bekerjasama di rantau ini sejak 2004 dan telah berjaya mengembangkan operasi mereka di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Kumpulan syarikat CIMB-Principal Asset Management mempunyai aset bawah pengurusan (AUM) lebih daripada RM80 bilion dan antara salah satu pengurus aset terbesar di rantau ini. – MalaysiaGazette