KUALA LUMPUR – Walaupun pelbagai analisis dan dakwaan MIC kalah teruk disebabkan kebencian terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak namun politik kasta juga faktor penyumbang.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Ahli Majlis Tertinggi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Madhu Marimuthu yang merasakan ‘kejatuhan’ MIC sebenarnya berpunca daripada politik kasta sehingga menyebabkan perpecahan peringkat akar umbi lagi.

Kepada Malaysia Gazette, beliau berkata, arus penolakan masyarakat India dan penyokong serta ahli akar umbi MIC kerana bosan dengan kepimpinan tertinggi yang mementingkan kasta daripada memberi keutamaan kepada mereka yang layak.

“Kita sebenarnya ada peluang cerah untuk menang beberapa tempat tetapi kerana calon yang diletakkan berpandukan kasta dan bukan kerana kelebihan mereka sebagai calon boleh menang.

“Kasta adalah antara punca perpecahan dalam parti kerana calon yang di terima dalam masyarakat setempat tidak pula terpilih.

“Selain daripada itu, perancangan war room juga lambat dimulakan. Maklum balas dari ketua parti komponen dan MIC sendiri di peringkat DUN serta Parlimen tidak diendahkan oleh kepimpinan parti malah faktor kasta lebih terserlah dari memilih calon boleh menang.

“Kalau semuanya kasta, macam mana rakyat tidak jelik dan bosan?” soalnya.

Menurutnya, MIC sebenarnya perlu lebih terbuka dalam memberi kepada golongan professional yang sedia ada dalam parti seperti strategi Pakatan Harapan seperti PKR, DAP dan Pas.

“MIC kalah dalam peringkat calon itu sendiri. Kita tidak perlu bercakap seolah-olah MIC tidak di terima kerana kerajaan UMNO serta BN semata-mata. Strategi dan penyampaian kita juga tidak betul,” katanya.

Dalam PRU-14, MIC hanya berjaya memenangi dua kerusi Parlimen iaitu Cameron Highlands, Pahang dan Tapah, Perak manakala yang lain termasuk kerusi Presiden, Datuk Seri S Subramaniam di Segamat dan Timbalan Presiden, Datuk Seri SK Devamany di Sg Siput kalah walaupun sebelum ini lantang mengatakan ianya boleh menang ‘mudah’.

Madhu yang juga merupakan seorang akauntan bertauliah menegaskan, kepimpinan Subramaniam telah memberi keutamaan kepada perpaduan parti tetapi kurang memberi tumpuan dari segi strategi politik menghadapi PRU-14.

“Masyarakat sudah bosan, politik dulu dan kini sudah berubah. Rakyat mahukan perubahan nyata, mereka juga mahu kepimpinan berkaliber dan muka baru serta golongan professional yang mampu memimpin.

“MIC perlu penjenamaan semula sebagai sebuah parti yang boleh di terima oleh semua secara keseluruhan. Muka professional cerdik pandai, pemuda dan wanita yang berintegriti perlu di beri peluang.

“Kita juga perlu membuang unsur politik kasta yang sedang memakan parti ini dan mengajak parti lain untuk menyertainya daripada hanya mahu menjadi parti tunggal memperjuangkan nasib masyarakat India.

“Cukup-cukuplah, henti tuding jari sebaliknya perbetulkan diri kita dulu, turun padang dan bercakap sendiri dengan semua akar umbi dan masyarakat setempat. Tidak guna bercakap kononnya kita sahaja pejuang tapi hakikatnya banyak perkara yang perlu di ubah. Bangkitlah,” tegasnya.- MalaysiaGazette