Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, petang semalam.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dipercayai menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, petang semalam.

Terdahulu, pada 10.45 pagi semalam, Jamal didakwa atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lepas.

Bernama difahamkan, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jamin beliau kira-kira 5.30 petang.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan Jamal.

“Beliau (Jamal) telah didakwa atas tiga pertuduhan hari ini di hiospital berkenaandan majistret telah menawarkan jamin RM 3,000 untuk setiap kes.

“Ketika proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang dilakukan petang tadi, beliau telah meninggalkan kawasan hospital,” katanya.

Fadzil berkata Jamal akan dihubungi semula bagi menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah tersebut.

Hari ini, Jamal mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin daripada Mahkamah Majistret Shah Alam.

Prosiding kes itu dijalankan di hospital berkenaan berikutan Jamal sedang mendapatkan rawatan bagi masalah sakit belakangnya.

Pertuduhan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan dan mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 8 Jun untuk sebutan semula kes.

Pada 5 Okt tahun lepas, Jamal bertindak memecahkan botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

— BERNAMA