Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas meminta parti-parti dan pemimpin politik tidak terlalu ghairah dengan sebarang tindakan sehingga institusi raja-raja tercalar.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Mat berkata, keutuhan institusi raja-raja Melayu perlulah dihormati dan dipelihara.

Menurutnya, sepanjang 16 hari ini, rakyat melihat bagaimana parti-parti dan watak-watak politik menimbulkan pelbagai pertikaian terutamanya kemelut menubuhkan kerajaan yang telah dan sedang berlaku.

Namun dalam keghairahan semua pihak untuk mempertahankan ruangan masing-masing jangan sesekali kita mengguris keutuhan dan kedaulatan institusi raja-raja yang telah sekian lama menjadi naungan kepada semua rakyat Malaysia.

“Apabila ia tercalar, maka hilanglah tempat untuk rakyat berlindung terutamanya apabila watak-watak dan parti-parti politik menjadi terlalu angkuh sehingga tidak boleh ditegur,”
tambah beliau.

Tegas Tuan Ibrahim, institusi raja-raja adalah payung negara yang menjadi naungan rakyat, melangkaui semua agama, bangsa, bahasa, fahaman politik dan sebagainya.

Ianyalah satu-satunya institusi yang bebas daripada apa-apa juga sentimen dan pengaruh tertentu.

“Oleh itu, Pas menasihatkan semua parti dan watak politik untuk menghormati institusi ini atas sifatnya itu.

“Apa sahaja pertikaian politik yang kita hadapi, janganlah kita melanggar sempadan ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette