Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, Datuk S. Ambiga tiba di Menara Ilham untuk mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2018.
Ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi, Datuk S. Ambiga tiba di Menara Ilham untuk mesyuarat bersama Majlis Penasihat Kerajaan di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 28 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC) telah menerima banyak cadangan daripada orang ramai berhubung penambahbaikan institusi di negara ini.

Salah seorang anggota IRC, Datuk S. Ambiga berkata, sambutan yang diberikan oleh orang ramai sangat menggalakkan.

“Banyak cadangan yang telah diterima dan ianya masih berlangsung.

“Saya gembira apabila melihat orang ramai mengambil peluang ini untuk menyatakan pandangan mereka mengenai institusi di negara ini serta memberikan cadangan-cadangan untuk menambah baik.

“Ianya sungguh menggalakkan dan kami berharap dapat mencari jalan penyelesaian kepada semua isu dan kebimbangan yang telah disuarakan rakyat itu,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat IRC di Menara Ilham di sini hari ini.

Menurut Ambiga, terdapat dua mesyuarat yang dijadualkan hari ini bagaimanapun tidak menyatakan pihak yang akan menghadiri pertemuan tersebut serta topik perbincangan mereka.

Sebaik sahaja ditubuhkan minggu lalu, IRC menyeru individu dan kumpulan untuk tampil memberikan pandangan mereka mengenai institusi-institusi yang telah gagal menjalankan tugas mereka mengikut perundangan.

Mereka diminta menghantar cadangan tersebut secara bertulis kepada IRC.

Katanya, orang ramai boleh memaklumkan jawatankuasa berkenaan mengenai kelemahan struktur, urustadbir lemah, proses membuat keputusan yang tidak berkesan serta kekurangan mekanisme untuk mengatasi isu di dalam sesebuah institusi.

Hari ini adalah hari terakhir untuk orang ramai menghantar cadangan masing-masing. -MalaysiaGazette