Bale sedia bercerai dengan Rela Madrid
gareth Bale sedar masa depannya dibawah Zidane tidak selamat

MADRID – Gareth Bale sudah bersedia untuk mengucapkan selamat tinggal kepada Real Madrid selepas membantu pasukannya menjulang gelaran juara Eropah semalam.

Bintang antarabangsa Wales itu dikatakan kecewa dengan layanan yang diberikan pengurus, Zinedine Zidane.

Bale sedih tidak diberi peluang beraksi lebih kerap bersama kelab itu pada musim ini.

Malah dia bukan lagi pemain pilihan kesebelasan utama untuk Zidane musim ini dan kerap memanaskan bangku simpanan sahaja.

Pemain berusia 28 tahun itu dikatakan sudah meminta wakilnya berbincang dengan Real Madrid pada minggu akan datang untuk menentukan masa depannya di bawah bimbingan Zidane yang kini didakwa tergantung.

Zidane telah meletakkan Bale di bangku simpanan dan hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi final kejuaraan Eropah bertemu Liverpool.

Manchester United yang sedang memantau perkembangan pemain itu menyatakan hasrat untuk mendapatkan khidmatnya.

Chelsea juga dikaitkan sebagai satu lagi destinasi untuk pemain itu menjamin masa depannya.

“Saya sangat kecewa tidak dapat beraksi dalam kesebelasan utama semalam. Saya sepatutnya lebih layak berada pada aksi final.

“Jika saya tak dapat melakukannya di Real Madrid, maka saya perlu mencari peluang bersama kelab lain.

“Saya akan duduk di meja rundingan bersama semua pihak berkepentingan dalam kelab untuk mengambil langkah saya berikutnya,” katanya. – MalaysiaGazette