Mohd Sheriff Mohd Kassim bercakap kepada media di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Kumpulan bekas penjawat awam, G25 mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas daripada pengaruh ahli politik termasuk Perdana Menteri.

Salah seorang pengasas G25, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim berkata, SPRM sepatutnya menjawab kepada Parlimen selepas ini.

Selain SPRM, kumpulan tersebut turut memberi cadangan kepada Jawatankuasa Reformasi Institusi (IRC) supaya membebaskan badan-badan seperti Jabatan Peguam Negara, jawatan pendakwa raya, badan kehakiman, Parlimen, polis dan penjawat awam daripada kuasa badan eksekutif termasuk di dalam urusan pelantikan atau pemecatan.

“Pelantikan peguam negara contohnya, perdana menteri seharusnya tidak mempunyai sebarang hak untuk melantik mahupun memecat penjawat jawatan penting di dalam institusi-institusi berkenaan.

“Kami berpendapat reformasi institusi ini sangat penting kerana ia akan mengembalikan semula keyakinan ekonomi, mencipta amalan semak dan imbang dan mengelakkan salah guna kuasa,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Reformasi Institusi di Menara Ilham pagi tadi.

Dalam pada itu, menurut seorang lagi pengasas G25, Datuk Faridah Ariffin, kebebasan badan-badan tersebut daripada pengaruh politik akan memudahkan tugas masing-masing di dalam menegakkan undang-undang di negara ini.

Disebabkan itu beliau amat mencadangkan supaya Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Pendakwaraya diasingkan dan bebas.

“Kita memerlukan polis yang bebas untuk melakukan siasatan, Jabatan Pendakwaraya yang bebas untuk melakukan pendakwaan dan hakim-hakim yang bebas untuk menegakkan keadilan.

“Tiada lagi kuasa Perdana Menteri di antara jawatan-jawatan tersebut malah AG dan Jabatan Pendakwaraya juga perlu mempunyai arah haluan yang berbeza,” tegasnya.

Menurut Faridah, cadangan-cadangan yang dikemukan kepada IRC diterima baik oleh panelnya hari ini. -MalaysiaGazette