Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Abdul Azhar Abdul Manaf meninggalkan Menara Ilham selepas memberikan taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2018.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Abdul Azhar Abdul Manaf meninggalkan Menara Ilham selepas memberikan taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 31 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – “Mereka hanya memberikan nasihat bagaimana mahu mengurus dengan baik,” kata Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf ketika ditanya mengenai butir perbincangan di antara agensi tersebut dengan Majlis Penasihat Negara hari ini.

Tanpa memperincikan perbincangan tersebut, Azhar menambah ia sekadar taklimat biasa berhubung operasi dan aktiviti Mara.

Selain Mara, Majlis Penasihat Negara yang diketuai bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin turut memanggil Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azhar Ahmad dan sebuah pengurus dana yang merupakan anak syarikat Mara, Pelaburan Mara Bhd. (PMB) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nazim Abd. Rahman.

Selain membincangkan mengenai ekonomi Bumiputera, ahli-ahli Majlis Penasihat Negara turut memanggil Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Muhamad Nordin Ibrahim serta Presiden Jawatankuasa Mem­­­promosikan Persefahaman dan Keharmonian antara Penganut Agama (JKMPKA), Datuk Azman Amin Hassan.

Selain itu, Presiden Majlis Konsultatif Budha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia, Datuk RS Mohan Shanmugam serta bekas Pengerusi ISIS, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan turut dipanggil untuk memberi taklimat hari ini. -MalaysiaGazette