Mohd Fadzley Mohd Yusof, 38 menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya ketika temubual eksklusif bersama mangsa yang dikatakan dituduh dan difitnah untuk cubaan ugut membunuh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 JUN 2018
Mohd Fadzley Mohd Yusof, 38 menunjukkan salinan laporan polis yang dibuatnya ketika temubual eksklusif bersama mangsa yang dikatakan dituduh dan difitnah untuk cubaan ugut membunuh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 01 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Seorang usahawan tampil menafikan sekeras-kerasnya beliau merupakan individu yang membuat ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini tular di laman sosial Facebook (FB).

Mohd. Fadzley Mohd. Yusof, 38, turut menegaskan pemilik akaun FB yang mengguna nama ‘Ayahanda Fadzley Mohd Yusof’ bukan dirinya dan adalah akaun palsu.

Beliau memberitahu, akaun FB miliknya mengguna nama ‘Fadzley Balqis’ yang digunakan sejak tujuh tahun lalu.

“Saya mula sedar tentang viral ini pukul 6 pagi semalam lepas sahur selepas dimaklumkan oleh abang saya terdapat satu grup Whatsapp sedang viral nama saya di FB.

“Bagi mengelak perkara tidak diingini dan membuktikan kebenaran, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Ulu Klang semalam dan juga laporan di Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Bernama melaporkan tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis menggesa tindakan diambil terhadap individu yang dipercayai membuat ugutan bunuh terhadap Dr Mahathir dalam FB.

Laporan polis tersebut dibuat oleh wakil NGO diketuai Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, tengah hari tadi.

Abdul Rani berkata, perbuatan pemilik akaun FB yang menggunakan nama ‘Ayahanda Fadzley Mohd Yusof’ itu jelas menggambarkan perbuatan tidak bertanggungjawab yang mengaitkan persatuan NGO dalam ugutan itu.

NGO lain ialah Kesatuan Melayu National, Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (Irimm), Akhlak Rahsia Cekal (ARC), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Refomis dan Kipidap.

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzley menambah beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak yang membuat laporan polis itu kerana ia adalah hak masing-masing.

Namun beliau berharap apa jua berita di laman sosial dapat ditapis dan tidak dipercayai secara membuta tuli oleh masyarakat.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya sentiasa menyokong kerajaan yang dipimpin Dr Mahathir selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 bulan lalu,” katanya. – MalaysiaGazette