Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) menyerahkan kad keahlian PPBM kepada Tan Sri Rais Yatim pada Majlis Iftar PPBM di perkarangan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 JUN 2018

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Rais Yatim akhirnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah sekian lama berdiam diri mengenai pendirian politiknya.

Pengumuman itu dibuat selepas Pengerusi PBBM yang juga Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selesai membuat ucapannya sempena majlis berbuka puasa parti itu sebentar tadi.

Malah satu upacara menyerahkan kad keahlian PPBM kepada beliau diadakan pada majlis yang sama.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Presiden PPBM merangkap Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir sama, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selaku Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Besar Johor, Osman Sapian.

Rais sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) dilihat sepentas dengan dua lagi veteran UMNO antaranya Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Daim Zainuddin mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN). -MalaysiaGazette