Faizal Rahman menunjukkan surat daripada tahanan SOSMA selepas membuat laporan polis terhadap Ustaz Zamihan Mat Zin kerana menghasut, menghina dan melakukan fitnah terhadap kerajaan di Penjara Sungai Buloh pada sidang akhbar di Pejabat Faizal Rahman & Co., Danau Kota Setapak, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Beberapa wakil ahli keluarga tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) membuat laporan polis terhadap Zamihan Mat Zain kerana didakwa cuba menghasut tahanan dengan penghinaan terhadap kerajaan baharu, Pakatan Harapan.

Zamihan yang juga pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Kementerian Dalam Negeri (KDN) didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur penghinaan dan hasutan semasa dalam satu program bersama tahanan pada 31 Mei baru-baru ini di Penjara Sungai Buloh.

Antara kenyataan berbentuk penghinaan didakwa dikeluarkan daripada mulut Zamihan ialah, ‘Memasukkan kamera ke dalam dubur tidak membatalkan puasa tetapi akan nampak Mat Sabu dan Nurul Izzah dalam lubang dubur tersebut’; ‘Pemimpin munafik ini seperti tidak mengotakan manifesto, menurunkan harga minyak tapi tidak menunaikannya’ dan beberapa kenyataan penghinaan lain terhadap pemimpin kerajaan.

Peguam keluarga tahanan, Faizal Rahman berkata, tindakan dan tingkah laku Zamihan itu, seolah-olah cuba mendoktrinkan tahanan supaya membenci kerajaan baharu dan mengakibatkan wujud rasa kurang senang dalam kalangan tahanan.

“Wujud keadaan tidak tenteram dalam kalangan mereka, kita terima laporan mereka dalam keadaan meroyan.

“Zamihan ini mewakili JAKIM dan KDN, akan memberi persepsi buruk kepada kerajaan sekarang ini dalam kalangan tahanan,” kata beliau semasa sidang media hari ini di pejabatnya Platinum Park, Setapak.

Seramai 12 orang tahanan SOSMA berada di Penjara Sungai Buloh dan mereka ini diletakkan di bawah kendalian Zamihan.

Faizal mempertikaikan tindakan dan kaedah digunakan Zamihan terhadap tahanan memandangkan beliau sepatutnya memulihkan tahanan yang disyaki pengganas supaya tidak agresif.

Namun kaedah menanam kebencian kepada kerajaan ini dilihat tidak berkesan sama sekali.

“Sepatutnya Zamihan memulihkan tahanan ini dengan ajaran Islam yang sebenar dan mengikut landasan yang aman bukan dengan cara menanam kebencian sebegini,” katanya lagi.

Bukan itu sahaja, malahan tahanan juga dipaksa oleh Zamihan supaya mengakui mereka adalah pengganas dan tidak perlu melantik peguam kerana mereka tidak akan dibebaskan, terang Faizal lagi.

Faizal menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap Zamihan agar kegiatannya menghasut tahanan dengan menyemai kebencian dapat dihentikan segera.

“Kami menggesa penggantungan serta-merta Zamihan daripada terlibat secara langsung atau berhubung dengan tahanan SOSMA, sama ada yang masih menanti perbicaraan atau yang telah menjalani hukuman termasuk menghalang beliau daripada memasuki pusat tahanan atau pemulihan,” katanya.

Faizal juga menggesa pihak polis segera menyiasat Zamihan memandangkan lima laporan polis sudah dibuat oleh anak guamnya terhadap beliau.

Ini bukan kali pertama Zamihan mencetuskan kontroversi, tahun lepas beliau juga mengeluarkan kenyataan keras menghina Sultan Johor ekoran tidak bersetuju dalam isu melibatkan dobi Islam. – MalaysiaGazette