1MDB

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan lengkap melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah diterima Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dihantar daripada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan satu pasukan khas juga ditubuhkan.

Tommy Thomas
Tommy Thomas

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam satu kenyataan mengumumkan sudah menerima kertas siasatan dan mereka memerlukan sedikit masa sebelum sebarang tindakan selanjutnya dapat diambil.

“Jabatan ini memerlukan sedikit masa untuk meneliti kertas siasatan tersebut namun mengambil maklum akan keperluan untuk meneliti perkara ini dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Tommy juga menubuhkan satu pasukan khas yang akan menumpukan terhadap pendakwaan jenayah berhubung penyelewengan melibatkan syarikat dana pelaburan itu.

“Bagi memastikan tugas ini dapat dilaksanakan dengan berkesan saya telah menubuhkan satu pasukan lagi untuk mengkaji kertas siasatan tersebut dengan tujuan untuk memulakan pendakwaan jenayah, jika ada dan satu lagi pasukan lain untuk mengkaji dan sudut prosiding guaman yang berkenaan,” katanya lagi.

Jelasnya, pegawai-pegawai yang mengganggotai kedua-dua pasukan khas itu terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Kanan Persekutuan yang berpengalaman serta akan melaporkan hasil kajian mereka secara terus.

Selain itu, Tommy juga memberitahu sudah menandatangani permohonan untuk bantuan bersama dalam perkara jenayah daripada Switzerland, Perancis dan Arab Saudi serta berharap agar dapat mengambil tindakan lanjut serta menjalin kerjasama dengan pihak mereka. – MalaysiaGazette