Timbalan Setiausaha Agung DAP, Teresa Kok yang dilaporkan kurang berminat terhadap Kementerian Wilayah Persekutuan berkemungkinan akan diberi peranan sebagai Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam Kabinet baharu yang akan diumumkan bila-bila masa sahaja.
Teresa Kok di antara menteri yang dilantik dalam barisan Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad.

KUALA LUMPUR – Desas-desus kuat mengatakan seramai 14 lagi menteri baharu bakal dilantik untuk melengkapkan barisan Kabinet dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pengumuman tersebut dijangka selepas sambutan hari raya dan menurut sumber yang dipetik dalaman laman portal, seramai 14 menteri tersebut dipilih berdasarkan merit.

Dua wakil DAP, Teresa Kok dan Yeo Bee Yin masing-masing dikatakan akan dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Tenaga, Teknologi dan Alam Sekitar.

Dari PKR, empat Ahli Parlimen dijangka akan dilantik sebagai menteri penuh, iaitu Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian (Menteri Kerja Raya) ; Xavier Jayakumar (Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli; ), Datuk Saifuddin Nasution (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) ; Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Pendidikan Tinggi).

Sementara itu, dua wakil Parti Amanah Negara (PAN) juga akan dilantik sebagai menteri iaitu Mujahid Yusof Rawa (Menteri Luar) dan  Khalid Samad (Menteri Hal Ehwal Agama Islam di Jabatan Perdana Menteri).

Dari PPBM pula, dua Ahli Parlimen yang akan dijangka masuk dalam senarai itu adalah Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Menteri Belia dan Sukan) dan Mohd Redzuan Yusof (Menteri Pembangunan Usahawan).

Tidak ketinggalan dalam senarai Kabinet adalah wakil dari Sabah, tiga Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah juga bakal dilantik Menteri iaitu Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); VK Liew (Menteri Undang-Undang) dan Mohamadin Ketapi (Menteri Pelancongan).

Turut dikatakan berada dalam senarai Kabinet adalah pemimpin Hindraf, P Waytha Moorthy akan diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal kaum India, selepas usaha kerasnya memastikan pengundi kaum India memilih Pakatan Harapan semasa pilihan raya umum lalu.

Keseluruhan barisan lengkap Kabinet kerajaan kali ini terdiri daripada 26 Menteri. – MalaysiaGazette