Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hairan apabila ada pihak tertentu mendakwa PPIM mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu sedangkan pihaknya tidak pernah berbuat demikian.
Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan hairan apabila ada pihak tertentu mendakwa PPIM mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu sedangkan pihaknya tidak pernah berbuat demikian.
KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melahirkan rasa bimbang terhadap sikap segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama NGO ini untuk kepentingan peribadi hingga mencemarkan kesucian Islam.
Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, beliau hairan apabila ada pihak tertentu mendakwa PPIM mempunyai cawangan di negeri-negeri tertentu sedangkan pihaknya tidak pernah berbuat demikian.
“Ada juga orang yang menggunakan nama persatuan di luar negeri, di tempat-tempat lain, kita pun kadang-kala terkejut. Mereka salah guna nama persatuan supaya senang laku (jual produk dan perkhidmatan).
“Salah guna nama PPIM banyak, saya kadang-kala letih juga. Memang bukan jejas PPIM saja tapi secara tak langsung jejas nama baik Islam.
“Kita cukup risau ia mencemarkan imej Islam, Islam yang elok dia cemar, itu yang kita cuba bendung, kita cuba buat,” katanya kepada MalaysiaGazette, baru-baru ini.
Katanya PPIM semakin dipandang serong apabila ada pihak mendakwa NGO itu mengenakan bayaran tertentu dalam setiap bantuan dan khidmat nasihat kepada pengguna.
“Kebanyakan kes yang melibatkan PPIM memang kita tidak pernah mengenakan caj. Contohnya kita buat jualan ikan murah, kita tiada keuntungan, kita buat kerja saja, yang meniaganya orang lain.
“Kita juga tidak dapat keuntungan, langusng tiada, kita membantu saja sebab kita nak perkara itu (baik) sampai kepada pengguna.
“Kita juga selesaikan isu bangkrap, ada satu kes RM80 juta melibatkan seorang perempuan, satu sen kita tak caj, kita bantu selesai cara mudah, tapi kalau ia melibatkan peguam, dia kena tanggung,” katanya.
Sementara itu, Nadzim juga menafikan PPIM bersifat partisan kerana sebelum ini dilihat lebih mesra dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
“Kita pun open book, saya tidak fikir kita tidak membantu kerana apa yang kita buat itu orang tak boleh buat pun.
“Kita berlapang dada dan berharap kerajaan nak bagi peruntukan mungkin. Kita tiada (tidak bias) kita menyokong kerajaan yang memerintah
“Kita juga tidak ambil kesempatan dan tidak pernah mahu terlibat dalam politik. Saya harap masyarakat kita berlapang dada dan kesian kat kita, tapi kita dapat banyak pahala,” katanya sambil berseloroh.
Katanya lagi, tidak dinafikan cabaran kini lebih kepada membersihkan nama dan imej PPIM di mata orang ramai.
“Kita cuba bersihkan nama PPIM daripada cemuhan dan tohmahan. Kita buat apa yang termampu, nak buat lebih pun tidak semudah itu pasal kita pun tiada duit.
“Mungkin kita bantu orang tepi jalan tapi berkat dia mungkin luar biasa doa orang yang kena aniaya.
“Balasan kepada kita ialah doa. Ada juga orang sumbangkan RM1,000 hingga RM2,000. Kita harap sumbangan orang ramai itu berterusan untuk gerakkan aktiviti PPIM.
“Kita yakin kalau kita buat benda baik, kita akan dapat baik, bila ada keberkatan ini, sikit pun cukup,” katanya.
Tambahnya lagi, PPIM diwujudkan semata-mata untuk membantu pengguna yang teraniaya dan tiada agenda lain di sebalik pertolongan itu.
“Agenda kita hanya nak bantu orang saja. Bank pun marah dengan kita…semua pihak marah…pasal telco pun marah sebab kita adu dia caj lebih.
“Kita tiada agenda selain membela kebenaran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast