Pengasas NH Prima Sdn Bhd (Neelofar Hijab), Noor Neelofa Mohd Noor selepas mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 18 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal dan usahawan produk Muslimah Naelofar Hijab, Neelofa menggesa kerajaan baharu memberi penekanan kepada penjualan barang tiruan yang seolah-olah tidak berkesudahan sehingga saat ini.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor yang mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan berkata, beliau telah mencadangkan agar kerajaan meneliti satu pelan baharu selain perancangan strategik bagi membendung kemunculan barangan tiruan di pasaran Malaysia.

Jelasnya, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebenarnya perlu bertindak tegas dengan menutup syarikat yang mengeluarkan produk tiruan serta-merta sebaik menerima laporan.

“Isu barangan tiruan bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah lama dan masih lagi tidak dapat dibendung sehingga kini walaupun dengan penguatkuasaan sedia ada.

““Kami pernah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan kastam tetapi ia memakan kos yang tinggi untuk kita teruskan usaha ini.

“Jadi, saya sudah mencadangkan kerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menutup akaun-akaun yang menjual barangan tiruan apabila laporan terhadap pihak berkenaan dibuat. Kita hanya mahu isu ini dapat ditangani pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita dengan di Menara Ilham hari ini.

Ahli panel majlis tersebut dianggotai lima pakar termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, tokoh perniagaan Robert Kuok, Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican dan ahli ekonomi Prof. Dr. Jomo Kwame Sundaram.

Dalam pada itu, Neelofa turut memberi cadangan kerajaan agar membantu peniaga dalam talian antaranya dengan menyusun semula agensi yang bertanggungjawab terhadap pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) agar tidak lagi berlaku pertindihan bidang kuasa.

Beliau berharap kerajaan akan dapat mempermudahkan urusan permohonan dana dan geran, termasuk dengan mengurangkan prosedur yang perlu dipatuhi.

Neelofa dan Vivy Yusof pernah dinamakan oleh majalah Forbes sebagai antara 30 tokoh penggerak Asia di bawah umur 30 tahun dalam kategori peruncitan dan e-dagang.

Neelofa sendiri yang mempunyai agen mencecah ribuan di Malaysia, Singapura dan Brunei menjana hampir RM200 juta.

Beliau juga dilaporkan mempunyai hampir 700 pengedar sah serta memiliki tiga butik utama yang menggaji lebih 80 pekerja termasuk lima pereka fesyen.

Antara yang turut dipanggil hari ini termasuk pengarah GRV Toy Store Sdn Bhd, Mustakim Manaf, pemegang  francais kedai permainan Hamleys di Malaysia dan Singapura serta Burhanuddin Radzi, pengasas Les Copaque Production, syarikat animasi yang menghasilkan siri kartun Upin dan Ipin. – MalaysiaGazette