Home Ekonomi 19.2% wanita dalam lembaga pengarah syarikat besar tahun lalu

19.2% wanita dalam lembaga pengarah syarikat besar tahun lalu

KUALA LUMPUR – Usaha untuk menggalakkan kepelbagaian gender dalam lembaga pengarah syarikat tersenarai kekal menjadi keutamaan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Ia merupakan susulan daripada pelancaran Tahun Pemerkasaan Wanita oleh Kerajaan Malaysia baru-baru ini.

SC berkata, setakat 31 Disember 2017, sebanyak 19.2 peratus keanggotaan lembaga pengarah 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia (100 syarikat teratas) terdiri daripada kaum wanita, meningkat daripada 16.6 peratus pada 31 Disember 2016.

Menurut Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) yang dikeluarkan pada 26 April 2017, syarikat-syarikat dikehendaki menzahirkan dasar sasaran dan langkah-langkah
kepelbagaian gender.

Syarikat besar seperti yang ditakrifkan oleh MCCG juga dijangka mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus kaum wanita menganggotai lembaga pengarah mereka.

Ketika pelancaran MCCG pada April tahun lalu, SC juga menetapkan sasaran tiada lembaga pengarah yang dianggotai semuanya oleh kaum lelaki dalam 100 syarikat
teratas menjelang penghujung 2018.

Setakat 17 Januari 2018, hanya tujuh syarikat yang semua lembaga pengarahnya terdiri daripada kaum lelaki , penambahbaikan sebanyak 65 peratus daripada 20 syarikat setakat 31 Disember 2016.

Ketujuh syarikat tersebut ialah Affin Holdings Bhd, Alliance Bank Bhd, Batu Kawan Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Genting Plantations Bhd, Genting Malaysia Bhd, dan UOA Development Bhd.

SC dan 30 perats Club Malaysia telah mengadakan pembabitan secara aktif bersama syarikat-syarikat ini.

Dfahamkan bahawa sesetengah syarikat ini sedang mengambil langkah-langkah untuk mengenal pasti calon yang sesuai dalam memastikan penyertaan kaum wanita dalam lembaga
pengarah mereka.

Fraser & Neave akan menamakan dua calon wanita untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat agung tahunan mereka yang akan datang. – MalaysiaGazette