Haqiem Rusli

KUALA LUMPUR – Tiada angin bergoyang, tiba-tiba penyanyi muda, Haqiem Rusli mengumumkan dia bakal ‘berehat’ daripada media sosial dan mungkin akan mengadakan persembahan terakhirnya pada 24 Jun depan.

Malah, Haqiem memberi bayangan dia juga akan membuat keputusan sama ada untuk bersara daripada bidang nyanyian atau tidak, pada awal Julai depan.

“Pengumuman penting kepada semua! Sudah lama saya tunggu saat ini, dalam keadaan sekarang serta waktu yang tepat.

“Saya ingin memberitahu tentang posisi saya dalam industri muzik, berhenti atau tidak, pada awal bulan Julai saya akan memberi jawapan sepenuhnya.

“Buat masa sekarang saya mahu berehat dari media sosial dan pada 24 Jun saya akan hadirkan diri show di Ipoh, mungkin ia akan menjadi show terakhir saya sebagai seorang penyanyi, mungkin,” tulisnya menerusi akaun Instagramnya, baru-baru ini.

Haqiem jua telah memadamkan semua gambar di akaun Instagramnya yang kini memiliki lebih sejuta pengikut.

Haqierm turut mendedahkan, dia mengalami depresi sejak awal tahun dan pelbagai masalah sampingan lain hingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berehat seketika.

“Tapi apa-apa boleh berlaku. Kepada qiemilio jangan marah saya, sila faham keadaan saya dan anda pun tahu saya memiliki depression ni dari awal tahun dahulu dan ia terus berlaku sampai ke hari ini, bukan depress je, macam-macam lagi.

“Keluarga serta FMC sudah memberi saya rehat dan berfikir hingga habis bulan Jun.

“Tunggu saya Haqiem Rusli pada awal bulan Julai. Keputusan akan diberitahu,” tambahnya.

Apa pun, buat Haqiem, hendak berhenti menyanyi, teruskan. Industri okey sahaja. Penyanyi datang dan pergi. Tak hal lah! – MalaysiaGazette