KUALA LUMPUR – Memang tidak dapat dinafikan pelbagai kejutan berlaku apanila parti Barisan Nasional (BN) tumbang ketika Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, tidak semua calon BN dianggap tidak diterima oleh masyarakat setempat terutama yang dianggap begitu ‘ikhlas’ dan berdedikasi dalam menjalankan kewajipan di kawasan masing-masing.

Antaranya, calon kerusi Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman yang telah menang dengan majoriti tipis namun sehingga hari ini terus dipertikaikan kemenangannya.

Penganalisis politik bebas, Abdul Jalil Abdul Gani berkata, Warisan perlu menghentikan retorik kononnya proses PRU-14 tidak telus kerana yang menang besar juga adalah mereka.

“Mana logiknya dengan tuduhan seumpama itu? Bukan Anifah seorang sahaja yang pernah menang tipis bahkan ramai lagi calon yang berlainan pendapat serta parti dengan beliau, pun pernah menang dengan majoriti tipis.

“Kemenangan tipis berkemungkinan menggambarkan konflik rakyat samada mengundi berdasarkan parti sahaja ataupun berdasarkan calon. Cuba terima kenyataan ini dulu.

“Hakikatnya, rakyat telah bersuara. Ada yang mengundi parti ada yang mengundi calon. Mengapa kemenangan anda tidak dipertikaikan tetapi kemenangan pihak lawan dipertikaikan sehingga kini? Cukup-cukuplah, terima sahaja hakikat ini,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

alt Abdul Jalil Abdul Ghani

Parti Warisan sebelum ini berterusan mempersoalkan kemenangan tipis Anifah pada PRU-14 yang memperoleh majoriti 156 undi menewaskan calon Warisan, Karim Bujang.

Laporan polis turut dibuat oleh Warisan yang mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan penipuan sehingga menyebabkan Karim tewas tipis.

Bekas menteri luar itu memperoleh 11,942 undi manakala Karim memperoleh 11,786 undi.

Jelas Abdul Jalil, sudah tiba masa untuk menghentikan polemik isu seperti ini sebaliknya masa untuk bekerja membangunkan negeri dan negara.

“Menang atau kalah adalah adat bertanding kerana politik adalah serba mungkin malah hakikat sebenarnya di tangan pengundi dan rakyat jatuh bangun seseorang ahli politik.

“Masyarakat Kimanis masih mahu memilih Anifah sebagai wakil rakyat mereka berdasarkan pencapaian beliau sebagai wakil rakyat serta pembangunan yang telah dibawa oleh beliau di kawasan tersebut.

“Perjuangan yang telah diperjuangkan oleh beliau sebenarnya demi kepentingan bukan sahaja di kawasan itu sebalik seluruh warga Sabah malah suara suara beliau telah didengari di pelusuk dunia. Itu adalah hakikat walaupun pahit untuk ditelan,” tegasnya. – MalaysiaGazette