Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – UMNO perlu melantik dua lagi Naib Presiden bagi kuota bagi kerusi wanita dan pemimpin Sabah, itu janji Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap manifesto beliau sekiranya memenangi kerusi Presiden UMNO pada pemilihan parti 30 Jun ini.

Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, lantikan dua jawatan itu adalah tambahan daripada tiga jawatan Naib Presiden  UMNO yang dipertandingkan pada pemilihan parti tersebut.

“Memandangkan kita perlu jaga kedudukan UMNO di Sabah dan perlu hormat asas penubuhan Sabah saya cadangkan jawatan Naib Presiden UMNO untuk Sabah.

“Kita akan beri kebebasan Sabah untuk menentukan pengerusi perhubungan dan mewakili UMNO peringkat parti.

Khairy berkata, kerusi Naib Presiden UMNO untuk wakil wanita adalah idea pertama bagi membolehkan barisan pembuat sebanyak 30 peratus tercapai.

“Naib Presiden UMNO disandang pemimpin wanita ini berbeza daripada bidang kuasa Ketua Pergerakan Wanita UMNO kerana boleh merasmikan mesyuarat di peringkat bahagian dan terbabit dalam percaturan di peringkat tertinggi parti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga berhasrat akan melaksanakan pemilihan UMNO setiap tiga tahun bagi menghidupkan kembali parti itu di peringkat akar umbi.

“Langkah ini adalah jaminan ke arah menyuburkan amalan demokrasi dalam UMNO selain menjadikan kerangka kepemimpinan tertinggi bertanggungjawab dalam segenap aspek yang menyentuh kepentingan dan hal ehwal parti.

“Kita perlu hormati suara akar umbi dan jika mereka rasa kepemimpinan sedia ada tidak menjalankan tugas dengan baik, barisan ‘nakhoda’ baharu boleh dilantik selepas tiga tahun,” katanya lagi. -MalaysiaGazette