NEW YORK – Pasaran saham telah jatuh di seluruh dunia berikutan ancaman tarif terbaru Presiden Donald Trump ke atas China.

Dow Jones ditutup susut hampir 1.2 peratus atau 287 mata selepas pasaran Asia dan Eropah jatuh mendadak lebih awal.

Trump telah mengancam untuk meletakkan tarif tambahan AS$200 bilion ke atas barangan China telah mencetuskan kebimbangan perang perdagangan.

Presiden Amerika Syarikat itu berkata, tarif akan dikenakan jika China “enggan mengubah amalannya”.

Beliau mengutuk “amalan tidak adil yang berkaitan dengan pengambilalihan harta dan teknologi intelektual Amerika” dan menambah: “Daripada mengubah amalan-amalan itu, ia kini mengancam syarikat-syarikat Amerika Syarikat, pekerja, dan petani yang tidak melakukan kesalahan.”

Pasaran memberi reaksi buruk dengan Shanghai Composite China merekodkan prestasi paling buruk di Asia, mengakhiri dagangan dengan penurunan sebanyak 3.8 peratus.

Di Eropah, indeks Dax Jerman menurun 1.2 peratus pada penutupan dan Cac 40 Perancis kehilangan 1.1 peratus.

FTSE 100 London mengakhiri dagangan kepada 7,603.85, kejatuhan 27 mata atau 0.36 peratus.

Di Amerika Syarikat, kerugian di Dow mendorong indeks ke wilayah negatif untuk tahun ini, dengan firma yang mempunyai perniagaan di China, seperti Boeing, yang memacu penurunan hari keenam indeks.

S & P 500 dan Nasdaq juga masing-masing jatuh 0.4 peratus dan 0.3 peratus. – MalaysiaGazette