Shahidan Kassim.
Shahidan Kassim.

KANGAR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata beliau hanya tahu adiknya, Datuk Ismail Kassim keluar daripada UMNO dan bakal menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah berita mengenainya disiarkan media.

“Saya berada di hospital di Kuala Lumpur, saya tidak dengar apa-apa berita atau maklumat mengenai perkara itu sebelum ini,” katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Shahidan berkata buat masa ini beliau hanya menumpukan kepada sesi pemulihan kesihatannya dan akan berada di hospital untuk tempoh yang lama sehingga benar-benar pulih.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Azlan Man berkata beliau menghormati keputusan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu untuk meninggalkan parti dan menjadi wakil rakyat bebas serta menyertai PPBM.

“Itu adalah satu keputusan yang dia (Ismail) sendiri buat. Sebagai individu beliau berhak buat keputusan terbaik untuk dirinya dan saya yakin beliau sudah mengambil kira dan membuat pertimbangan tertentu sebelum memutuskan perkara itu,” katanya.-BERNAMA