Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan mengambil maklum semua teguran dari pihak
media khususnya berhubung layanan dan kesukaran mendapatkan akses dan jawapan daripada Menteri Pertahanan.

Sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan Malaysia yang baharu, pihak Kementerian menerima banyak permohonan dari pihak media untuk mengadakan wawancara khas bersama Yang Berhormat Tuan Haji Mohamad bin Sabu.

Memandangkan jadual Menteri Pertahanan yang agak padat dan bagi mempercepatkan proses, pihak Kementerian Pertahanan melalui Unit Komunikasi Strategik terpaksa mengatur sesi wawancara dengan pihak media secara berkumpulan.

Sejak 28 Mei 2018 sehingga 12 Jun 2018, sebanyak lima siri wawancara telah diadakan yang melibatkan 18 agensi media termasuk media cetak, elektronik dan media atas talian.

Beberapa siri wawancara bersama agensi media yang masih berbaki akan menyusul, namun tertakluk kepada jadual Menteri Pertahanan.

Berhubung isu kawalan keselamatan yang ketat, pihak Kementerian telah memaklumkan kepada pengiring rapat (close escort) untuk membenarkan rakyat bergambar dengan Menteri Pertahanan, namun masih menitikberatkan faktor keselamatan.

Mengulas isu jawapan balas daripada Menteri Pertahanan terhadap soalan melalui aplikasi whatsapp peribadi beliau, pihak kami ingin memaklumkan bahawa terdapat isu yang perlu diteliti dan mendapatkan pandangan dari pihak berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang reaksi dikeluarkan.

Pihak media adalah dinasihatkan untuk memaklumkan lebih awal dan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu menemubual Menteri Pertahanan.

Pihak Kementerian sentiasa bersedia dan terbuka untuk membantu pihak media bagi memastikan setiap agensi media dapat memberikan laporan yang terbaik.

Bagi tujuan itu juga, pihak Kementerian Pertahanan akan menganjurkan Majlis Hari Raya Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat dan semua media akan dijemput untuk memeriahkan majlis tersebut bersama-sama Menteri Pertahanan.

Unit Komunikasi Strategik
Kementerian Pertahanan Malaysia
21 Jun 2018