Bekas ahli seumur hidup DAP,  Dr. Shamsher Singh Thind menganggap tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerima derma daripada seorang kanak-kanak bagi Tabung Harapan tidak lebih sekadar mencari publisiti murahan.
Bekas ahli seumur hidup DAP,  Dr. Shamsher Singh Thind menganggap tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerima derma daripada seorang kanak-kanak bagi Tabung Harapan tidak lebih sekadar mencari publisiti murahan.

PULAU PINANG  – Bekas ahli seumur hidup DAP,  Dr. Shamsher Singh Thind menganggap tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang menerima derma daripada seorang kanak-kanak bagi Tabung Harapan tidak lebih sekadar mencari publisiti murahan.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai memalukan, Shamsher yang juga peguam turut mempersoal kedudukan Kit Siang untuk menerima derma daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan.

Malah, beliau turut mempersoal sekiranya ada mana-mana pihak sebelum ini melantik Kit Siang sebagai ejen bagi mengutip derma kepada Tabung Harapan.

Dalam masa sama, beliau tertanya-tanya mengapa Ahli Parlimem Segambut, Hannah Yeoh yang didatangi ibu bapa kanak-kanak itu perlu menghubungi Kit Siang berkenaan derma tersebut dan tidak terus memasukkan ke dalam akaun Tabung Harapan seperti yang dihebahkan selama ini.

“Saya tidak bimbang dengan impian kanak-kanak itu untuk membeli set dram dengan wang yang didermakan kepada Tabung Harapan kerana saya yakin selepas ini ramai pihak yang akan tampil membantu menunaikan impiannya tersebut.

“Tetapi pada saya penglibatan Kit Siang yang menerima derma kanak-kanak itu adalah sesuatu yang memalukan kerana seolah-olah mahu mendapat publisiti murahan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Kit Siang dilaporkan menerima wang yang didermakan daripada Ervin Devadasan, 12, bagi Tabung Harapan yang sepatutnya digunakan kanak-kanak itu untuk membeli set dram.

Tindakan Kit Siang itu turut dikritik pemimpin PKR, Latheefa Koya yang turut menilainya sebagai murahan memandangkan Tabung Harapan ditubuhkan atas tindakan politik.

Dalam pada itu, Shamser menilai kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya tidak berhasrat menunaikan janji-janji yang dibuat mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kerana itu, kata beliau, kerajaan Pakatan Harapan mereka-reka cerita berkenaan hutang negara berjumlah RM1 trilion.

“Jika tidak, mereka perlu mengakui segala janji pada PRU-14 dibuat tanpa mengetahui kedudukan sebenar kewangan negara yang mana menunjukkan mereka sebenarnya cuai dan tidak cekap,” katanya. – MalaysiaGazette