Salahuddin Ayub
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media mengenai jawatankuasa Khas Kabinet, BERNAS dan jawatankuasa Penyiasatan Isu Urus Tadbir Kementerian di Bilik Media, Menara Lembaga Pertubuhan Peladang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 21 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Salahuddin Ayub hari ini menutup mulut berhubung kenyataan Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Muhajid Yusof Rawa yang mendakwa nama beliau tersenarai sebagai menteri dalam kabinet tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Presiden PAN itu, selain Mujahid, banyak lagi nama yang didengar bakal disenaraikan bagi melengkapkan 25 menteri kabinet penuh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Itu dia (Mujahid), saya tidak berani komen. Bukan sahaja Datuk Mujahid dan Khalid Samad, ramai lagi saya dengar nama. Tapi itu progeratif Perdana Menteri. Tunggulah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Lembaga Pertubuhan Peladang hari ini.

Dua hari lalu, Mujahid mengesahkan namanya diserahkan oleh Amanah untuk menganggotai kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Saya bersedia untuk berkhidmat tidak kira apa-apa jawatan Kabinet yang diberikan. Saya anggap itu sebagai satu penghormatan yang tinggi dan amanah untuk berkhidmat kepada negara,” katanya memetik Bernama.

Buat masa ini, jemaah Kabinet PH hanya mempunyai 13 anggota sedangkan ada beberapa portfolio penting termasuk Menteri Luar masih kosong buat masa ini.

Mengulas lanjut, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kulai itu memberitahu; “Saya pun masa dilantik tidak tahu, sehari sebelum pengumuman senarai kabinet, kami ada mesyuarat Majlis Presiden malam sebelum pengumuman, berbahas bergurau dan balik rumah.

“Esok petang tiba-tiba nama saya naik jadi menteri,” ujarnya.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir pula berkata, senarai penuh kabinet dijangka diumumkan hujung minggu ini.

Malah jawatan timbalan menteri turut akan diumumkan pada masa yang sama. -MalaysiaGazette