Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengakui ada bertemu dengan calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah untuk memintanya bertanding jawatan tersebut.

Khairy yang juga menawarkan diri untuk jawatan sama berkata, langkah tersebut bertujuan bagi mewujudkan pertandingan dalam pemilihan kali ini dan supaya ahli-ahli UMNO mempunyai pilihan untuk melantik presiden parti tersebut.

“Pada masa itu saya dan pemimpin (UMNO) lain galakkan Tengku Razaleigh bertanding kerana mahu ada pilihan, namun itu tidak bermaksud saya tidak boleh bertanding.

“Biarlah ada pilihan untuk perwakilan dan kita meraikan demokrasi terbuka. Tidak salah kalau saya tawarkan diri mewakili generasi dan pandangan idea berbeza sedikit dari Tengku Razaleigh dan Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi),” beliau dipetik berkata hari ini.

Terdahulu, Tengku Razaleigh atau Ku Li mengatakan Khairy antara pemimpin UMNO yang hadir dan memujuknya supaya bertanding jawatan Presiden kerana Ketua Pemuda itu mahukan seorang tokoh yang boleh diterima bukan sahaja ahli UMNO dan komponen Barisan Nasional (BN), tetapi rakyat secara keseluruhannya.

Mengenai penawaran dirinya bagi jawatan Presiden UMNO, Khairy menjelaskan perubahan dalam UMNO perlu dilakukan pada pemilihan kali ini dan bukannya tiga tahun lagi ketika persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 perlu dilakukan. – MalaysiaGazette