Ketua PEMANTAU, Datuk Lokman Noor Adam (tengah) bersama para penyokongnya di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini.
Ketua PEMANTAU, Datuk Lokman Noor Adam (tengah) bersama para penyokongnya di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR – Sebuah NGO, Pemantau Malaysia Baru (PEMANTAU) merancang mengadakan jelajah ke seluruh negara bagi menyelamatkan Raja Melayu dan agama Islam yang didakwa diperkecilkan oleh kerajaan baharu ketika ini.

Kumpulan tersebut mengadakan himpunan pertama di perkarangan Masjid Negara selepas solat Jumaat hari ini dan kira-kira 30 orang peserta menyertai himpunan tersebut.

Ketuanya, Datuk Lokman Noor Adam berkata mereka merancang pula untuk mengelilingi seluruh negara bagi mengumpulkan tandatangan rakyat untuk menyatakan sokongan kepada Raja Melayu dan menggesa kerajaan melindungi keistimewaan orang Melayu.

“Kami dan beberapa NGO yang lain akan turun ke setiap negeri… kita akn buat perhimpunan untuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam dan institusi Raja Melayu.

“Akhirnya kami akan serahkan tandantangan rakyat yang hadir dalam himpunan ini kepada Agong,” kata beliau semasa ditemui selepas himpunan tersebut.

Jelasnya, himpunan seluruh negara itu akan diadakan setiap selepas solat Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Zuhdi Marzuki yang turut hadir pada himpunan tersebut berkata perjuangan kumpulan tersebut selari dengan pendirian parti Islam tersebut bagaimanapun pendirian rasmi sahaja belum dinyatakan mereka.

“Perjuangan mereka selari dengan apa yang sebenarnya Pas perjuangkan, cuma setakat ini Pas belum keluarkan penyataan pendirian dalam isu ini.

“Kalau mereka buat jelajah saya akan bersama mereka tapi atas kapasiti peribadi saya sendiri,” ujarnya.

Turut hadir dalam himpunan tersebut Presiden Jaringan Melayu Malaysia, Datuk Azwanddin Hamzah.

Gesaan untuk mempertahankan insitusi beraja merupakan antara kempen yang digerakkan kelompok UMNO selepas kekalahan parti tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei.

Kempen itu digiatkan pada awal bulan ini apabila isu peruntukan dana kepada Yang di-Pertuan Agong menjadi tumpuan. – MalaysiaGazette