KUALA LUMPUR – Pengarah muda terkenal, Shalini Balasundaram kembali dengan filem kedua beliau ‘Thirudathey Papa Thirudathey’ yang diinspirasikan daripada perjalanan hidupnya sebelum ini.

Rata-rata peminat filem tamil tempatan ketagih dengan garapan beliau selepas kejayaan besar filem pertama, ‘Geethaiyin Raadhai’ pada 2016 yang menjadi sebutan ramai buat tempoh panjang.

Mengambil tempoh 8 bulan untuk  mengolah skrip berkenaan bersama suaminya, Sathish Natarajan, filem terbaru ini dijangka mendapat tempat di hati peminat apatah lagi ia berkisarkan isu sosial yang sering berlegar dalam kalangan komuniti India tempatan.

Walaupun pada awalnya hanya sekadar menghasilkan naskhah ringan iaitu filem bercorak komedi romantik, sambutan hangat diberikan komuniti India negara menyebabkan beliau tekad untuk tampil dengan karya lebih berat dan membawa kepada penghasilan Thirudathey Papa Thridudathey.

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Shalini berkata, filem terbaru itu diolah berdasarkan beberapa kisah benar yang berlaku dalam hidupnya.

“Rumah saya pernah dirompak ketika saya berusia enam tahun. Menginjak usia 19 tahun, ibu saya pula menjadi mangsa ragut dan ketika berusia 21 tahun, rumah saya telah dipecah masuk perompak.

“Kejadian itu membuatkan saya trauma kerana tunang saya dikepung dengan senjata oleh perompak itu. Sepupu saya turut berdepan kejadian rompakan di rumahnya malah mereka sekeluarga berdepan saat menakutkan apabila diikat oleh perompak,” katanya.

Menurut Shalini, statistik yang diperoleh beliau menunjukkan bahawa 7 peratus  daripada populasi penduduk Malaysia terdiri daripada komuniti India dan apa yang menyedihkan, 70,000 dari jumlah 7 peratus itu terbabit dalam gejala gangterism serta perbuatan jenayah.

“Semua itu antara ramuan yang saya adun khas dalam filem terbaru ini. Bukan hanya menceritakan permasalahan sosial yang membelenggu komuniti kami, tetapi turut diberi suntikan hiburan kerana sesebuah filem perlu memiliki elemen ini.

“Jika Geethaiyin Raadhai ialah filem yang memfokus kepada golongan dewasa dan remaja, Thirudathey Papa Thirudathey pula mensasarkan penonton berusia serendah 6 tahun hingga 60 tahun,” katanya.

 

alt Poster terbaru Thirudathey Papa Thirudathey

Sepintas lalu, Thirudathey Papa Thirudathey bukan sebuah filem yang berlatarkan teknik melakukan jenayah, tetapi ia menjurus kepada masalah melingkari kehidupan seorang lelaki dan cubaan beliau menyelesaikan permasalahan berkenaan dengan baik.

Dihiasi lima lagu tema, dua daripada lagu berkenaan telah diterbitkan untuk pendengar manakala runut bunyi filem akan berada di pasaran tidak lama lagi.

Mengekalkan Ztish sebagai pengarah muzik, ia pasti akan memikat pendengar kerana beliau adalah individu bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu hit dari filem Geethaiyin Raadhai, khususnya Ennai Kollathey.

Bukan hanya sekadar filem, Thirudathey Papa Thirudathey adalah cerminan masyarakat hari ini dengan nilai didikan yang amat diperlukan generasi muda.

Pendidikan bermula dari rumah dan mesej ini jelas kelihatan dalam Thirudathey Papa Thirudathey. Filem bukan hanya sekadar hiburan, tetapi filem juga perlu mendidik dan aspek ini dipegang kukuh dalam Thirudathey Papa Thirudathey.

Bakal menemui penonton di pawagam pada 16 Ogos hadapan, Thirudathey Papa Thirudathey adalah pelepas kerinduan penonton yang mahukan idea segar dan luar dari kebiasaan.

alt 31682304_1788037814586648_4972353096790310912_o