Suri rumah Asmani Mat, 31, dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas didakwa atas pertuduhan membunuh anak bongsunya berusia 19 bulan di Felda Jengka 13, Maran pada Ahad lepas.?Mahkamah hari ini membenarkan suri rumah itu untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.?--fotoBERNAMA (2018)
Suri rumah Asmani Mat, 31, dibawa anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret selepas didakwa atas pertuduhan membunuh anak bongsunya berusia 19 bulan di Felda Jengka 13, Maran pada Ahad lepas.?Mahkamah hari ini membenarkan suri rumah itu untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.?--fotoBERNAMA (2018)

TEMERLOH – Mahkamah membenarkan suri rumah yang hari ini didakwa atas pertuduhan membunuh anak bongsunya berusia 19 bulan di Felda Jengka 13, Maran pada Ahad lepas, untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Johor Bahru.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Temerloh Ti Pei Si membenarkan tertuduh Asmani Mat, 31, dirujuk ke hospital itu susulan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mustafa.

Siti Hajar memohon mahkamah agar membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Permai bagi tujuan pemerhatian selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah kerana tertuduh disyaki mengalami masalah mental ketika melakukan jenayah itu.

Terdahulu, tertuduh yang berpakaian lokap dan tidak diwakili peguam hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Ti.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu membunuh anaknya Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal, di kediaman mereka pada Ahad lalu antara 8.30 malam hingga 9.30 malam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 20 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes itu di Mahkamah Majistret Maran bagi membolehkan semua laporan yang berkaitan termasuk laporan kimia disiapkan.

Sebelum prosiding pada pagi ini bermula tertuduh kelihatan tidak fokus dan terganggu sehingga terpaksa ditenangkan oleh suaminya Muhammad Rizal Jusoh, 42.

— BERNAMA