Jawatankuasa Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bercakap kepada media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham, Jalan Binjai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JUN 2018.
Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz gembira dengan pelantikan Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunos sebagai Gabenor yang baharu.

Jelas Zeti, pelantikan tersebut menunjukkan kerajaan menghormati Bank Negara Malaysia sebagai sebuah institusi yang bebas.

Malah, beliau percaya pasaran juga mahu melihat bank pusat itu bebas daripada sebarang pengaruh ketika menjalankan fungsinya.

“Beliau (Shamsiah) pernah menjadi Timbalan Gabenor semasa saya masih di Bank Negara.

“Beliau amat memahami dan mengetahui kesemua perkara mengenai Bank Negara justeru, pelantikan beliau menunjukkan kerajaan menghormati institusi Bank Negara,” katanya kepada pemberita di Menara Ilham hari ini.

Zeti yang juga salah seorang ahli Majlis Penasihat Kerajaan bagaimanapun enggan memberi komen sama ada beliau ada memberi cadangan kepada kerajaan berhubung pelantikan Shamsiah.-MalaysiaGazette