Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR- Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan pembatalan projek kontroversi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah tidak masuk akal dan akan diteruskan kerana sejumlah RM20 bilion telah dilaburkan kerajaan sebelum ini.

Bagaimanapun menurut beliau, kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melakukan rundingan semula mengenai harga projek berkenaan dengan China.

“Kita telah membayar sebanyak RM20 bilion dalam projek ECRL. Jadi tidak masuk akal untuk membatalkannya begitu sahaja kerana kita telah mengeluarkan wang sebanyak RM20 bilion.

“Ia merupakan salah satu projek yang kita akan rundingkan semula,” katanya kepada portal The Malaysian Insight.

Menurut Guan Eng, dua projek mega yang dicadangkan semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional iaitu ECRL dan HSR diberi perhatian semula yang mana rundingan semula akan dibuat kepada projek rel pantai timur itu manakala bagi projek keretapi laju yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura akan dinilai semula.

“Penilaian semula bermakna ia mungkin akan dilaksanakan atau mungkin dibatalkan. Ia juga mungkin akan ditangguhkan.

“Rundingan semula bermakna kita akan berbincang mengenai harganya,” jelas beliau.

Menteri Kewangan itu bagaimanapun tidak mendedahkan berapa banyak kos yang akan dikurangkan mahupun menyentuh mengenai rundingan semula berhubung terma di dalam kontrak ECRL.

“Biar kami berbincang dahulu. Kami tidak boleh berbincang di hadapan umum. Rundingan perlu dilakukan secara tertutup,” katanya lagi. – MalaysiaGazette