Vatican
Gambar hiasan Vatican City

VATICAN CITY – Seorang paderi Katolik yang juga seorang diplomat di Kedutaan Vatican di Washington mengaku bersalah memiliki pornografi kanak-kanak semasa beliau bertugas di Amerika Syarikat.

Carlo Alberto Capella yang ditahan di Vatican pada April lalu selepas beliau dipanggil pulang, memberitahu mahkamah bahawa dirinya mempunyai keinginan pelik selepas tiba di AS untuk berkhidmat di negara itu pada 2016.

β€œIa bukan sebahagian daripada kehidupan paderi saya sebelum ini,” katanya kepada mahkamah sambil menambah beliau tidak gembira semasa bekerja di kedutaan di Washington.

Pada Ogos 2017, Jabatan Negara AS memaklumkan Holy See tentang kemungkinan berlakunya pelanggaran undang-undang berhubung imej pornografi kanak-kanak oleh seorang ahli diplomatik mereka.

Beberapa minggu kemudian, AS meminta supaya imuniti diplomatik Capella dibatalkan bagi membolehkannya didakwa di negara berkenaan, bagaimanapun permintaan tersebut telah ditolak Vatican.

Apabila Capella dipanggil pulang ke Rom, polis di Windsor, Kanada berkata, mereka telah mengeluarkan waran tangkap kepada beliau di atas dakwaan memiliki dan mengedarkan pornografi kanak-kanak di Internet semasa melawat sebuah gereja di Kanada.

Perbicaraan ditangguhkan sehingga Sabtu. – Agensi