Pantai
Pantai Hainan

HAINAN – Pengunjung pulau tropika di Hainan China bakal mempunyai akses kepada platform media sosial popular seperti Facebook, Twitter dan Youtube walaupun pengharamannya masih dikuatkuasakan di bahagian-bahagian lain negara tersebut.

Menurut kerajaan wilayah tersebut, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha pihak berkuasa tempatan untuk merangsang industri pelancongan.

Tambahnya, ia juga akan mengupah kira-kira 50,000 pekerja asing yang mahir bertutur di dalam Bahasa Inggeris terutamanya dari Filipina dan negara-negara Asia Tenggara lain di samping membeli iklan 2,000 minit setahun di saluran-saluran seperti BBC, CNN dan CNBC.

Ia adalah sebahagian daripada langkah yang telah digariskan dalam pelan tindakan tiga tahun yang diterbitkan secara dalam talian dan dilaporkan oleh media tempatan.

Cadangan tersebut hadir dua bulan selepas Presiden China, Xi Jinping mengumumkan pelan transformasi wilayah kepulauan yang terkenal dengan pokok palma di pesisir pantai dan sering dianggap sebagai Hawaii China kepada sebuah pelabuhan perdagangan bebas menjelang 2020.

China menggunakan sistem penapisan terkini yang dikenali sebagai Great Firewall untuk menghalang akses platform-platform media sosial terpilih serta organisasi media asing termasuk The New York Times dan The Wall Street Journal.- Agensi