Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Sebaik menerima pelantikan sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang baharu, Datuk Noraini Ahmad berjanji untuk mengukuhkan kembali kedudukan parti itu.

Ujarnya, sebagai tulang belakang kepada UMNO, Wanita perlu bersiap sedia dan bekerja keras bagi mengembalikan kepercayaan rakyat selepas kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.

“Kita kena akui yang kita perlu rapatkan saf. Ia mesti erat bertaut kembali. Legasi yang kita ada sebelum ini perlu diteruskan dan diperkuatkan.

“Kita kena sedar UMNO dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi kuat seperti dulu. Jadi gerakan memperkuatkan Wanita dan parti ini akan dibuat sekarang, “ katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Noraini diumumkan  Ketua Pergerakan Wanita UMNO yang baharu manakala Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Datuk Zahida Zarik Khan sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO bagi 2018 sehingga 2021.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Setiausaha Kerja parti, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini selepas keputusan itu tertangguh sejak semalam.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, adalah penting untuk meningkatkan taraf dan maruah parti selain memperjuang isu-isu semasa.

“Dalam keadaan ini BN bukan lagi kerajaan dan ini cabaran yang sangat kuat kepada kami untuk kembalikan keyakinan rakyat.

“Kita perlu bergerak dari sekarang, Wanita akan sentiasa berterusan dan perjuangan untuk melaksanakan pelan untuk lima tahun akan datang,” katanya lagi.

Noraini akan bergandingan dengan Naib Ketua Wanita baharu, Norliza Abdul Rahim. -MalaysiaGazette