Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita UMNO yang baharu, Datuk Noraini Ahmad berkata tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan kenyataan rasmi kerajaan yang diterbitkan dalam bahasa Mandarin tidak menghormati Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia berikutan kecaman yang diterima Setiausaha Agung DAP itu daripada netizen.

Justeru itu beliau berkata, Guan Eng perlu bertindak sebagai Menteri Kerajaan Persekutuan yang lebih objektif dalam melaksanakan tugasnya.

“Sebagai Menteri Kewangan Malaysia, Guan Eng seharusnya menumpukan perhatian dan tindakannya terhadap tugas-tugas mengurus kewangan negara, bukan menimbulkan kegelisahan rakyat melalui semangat ‘Malaysia Baru’ yang dilaungkannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng hari ini mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Facebook yang dikeluarkannya malam semalam untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Cina.

Justeru itu, Wanita UMNO menggesa Guan Eng supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan rasmi mahupun peribadi di masa akan datang.

“Setiap tindakan beliau akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

“Wanita UMNO juga menggesa Pakatan Harapan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Guan Eng berkenaan perkara ini yang dikhuatiri boleh mencetuskan kegelisahan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sehingga boleh mendatangkan perpecahan dan ketidak harmonian dalam negara ini,” katanya. -MalaysiaGazette