Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meletakkan Malaysia di tangga kesepuluh bagi kes demam campak tertinggi untuk tempoh September 2017 hingga Februari lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, sejumlah 724 kes demam campak telah dilaporkan setakat 31 Mei lalu, meningkat sebanyak 22.3 peratus berbanding 592 kes tempoh sama tahun lepas.

Tegasnya, salah satu faktor utama peningkatan kes tersebut adalah liputan vaksin MMR (campak, beguk dan rubella) yang rendah.

“Setiap kanak-kanak perlu diberikan vaksin MMR sebanyak dua kali.

Pada 2016, liputan imunisasi MMR bagi bayi berusia 12 bulan adalah 94.37 peratus dan angka tersebut merosot kepda 92.08 peratus pada tahun lalu.

Liputan imunisasi melebihi 95 peratus diperlukan bagi memastikan imuniti kelompok kekal tinggi untuk mengekang penularan jangkitan demam campak dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan dari Januari hingga 9 Jun lalu ialah 27,103 kes dengan 46 kematian, berbanding 43,807 kes dengan 101 kematian bagi tempoh sama tahun lalu.

“Ia menurun sebanyak 16,704 kes (38.1 peratus) dan 55 kematian (54 peratus), namun kes dijangka meningkat selepas musim perayaan kerana pergerakan manusia serta aktiviti kawalan yang kurang dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-71 di Geneva, Switzerland, pada 20 hingga 26 Mei lalu menjadi platform persidangan, mesyuarat dan perbincangan dua hala bagi membolehkan Malaysia meneruskan peranan lebih besar dalam arena kesihatan global.

“Penyelidik Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Nazmi Wasi Ahmad turut menerima anugerah Dr Lee Joong-Wook Memorial Prize bagi Kesihatan Awam atas kejayaannya melaksanakan kajian terapi pembersihan luka pesakit diabetes menggunakan larva lalat (maggot),” katanya.-MalaysiaGazette