Najib Razak
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas bahawa rampasan dalam bentuk barangan kemas oleh pihak berkuasa tidaklah setinggi RM1 bilion.

Malah, beg tangan dan barangan mewah lain kebanyakannya adalah ‘hadiah’ dan tidak wujud soal pelanggaran etika bagi seseorang berjawatan tinggi sepertinya untuk menerima hadiah berharga.

“Jika hadiah itu diberikan kepada anda oleh ketua negeri lain, seperti pada majlis hari lahir dan tidak mengharapkan balasan, ia tak haram. Dr Mahathir sendiri kata dalam rekod yang dia menerima 40 kuda daripada kawannya. Saya pasti ada juga hadiah lain yang dia terima sepanjang kerjayanya,” kata Najib dalam satu wawancara eksklusif dengan Malaysiakini hari ini.

Dalam pada itu, Najib turut memberikan contoh bahawa bekas presiden Amerika Syarikat, Barack Obama dan Michelle Obama turut pernah menerima jutaan dolar daripada Raja Arab Saudi terdahulu, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud.

“Dan bila Raja Salman melawat Indonesia baru-baru ini, dia juga beri hadiah bernilai jutaan ringgit. Bagi sebilangan keluarga diraja di negara tertentu, sudah jadi budaya mereka beri hadiah mahal.

“Misalnya, barangan yang diberikan kepada saya oleh keluarga diraja ini, saya tak guna pun. Saya simpan kerana saya tak mahu guna barang mahal, itu kawan saya semua tahu. Saya tak pakai jam yang ada permata berharga,” ujarnya.

Najib turut mengakui beliau sangat rapat dengan Raja Abdullah dan telah menerima gelaran tertinggi Arab Saudi yang hanya diberikan kepada sekutu terdekat seperti Obama dan Presiden Rusia, Vladimir Putin. – MalaysiaGazette