UMNO Johor percaya keputusan empat parti komponen di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN) akan menggagalkan usaha memperkemas demokrasi yang diusahakan parti itu selama ini.

TANGGAL 9 Mei 2018 telah menuntut UMNO untuk mencipta episod baharu. UMNO telah ditolak oleh sebahagian rakyat di dalam PRU-14 dan menjadikannya parti paling banyak memenangi kerusi Parlimen, tetapi berada di luar kerajaan.

Pada awalnya mengetuai Pakatan Barisan Nasional yang terdiri daripada 79 Ahli Parlimen (termasuk Sabah dan Sarawak), namun hanya tinggal 58 kerusi disebabkan terdapat seorang Ahli Parlimen di Sabah menyertai gabungan Parti Warisan, parti-parti di Sarawak membentuk Pakatan baharu (Gabungan Parti Sarawak) yang miripnya
akan menyokong kerajaan sedia ada demi kepentingan negeri dan seorang Ahli Parlimen UMNO mengisytiharkan diri menjadi parti bebas.

Penolakan sebilangan rakyat terhadap UMNO bukannya sejak akhir-akhir ini, namun sejak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamed menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia lagi. Pertelingkahan antara Tun Dr. Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyebabkan tertubuhnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memperjuangkan soal keadilan sejagat serta menentang amalan kronisma dan nepotisma.

Walaupun gerakan ini pada asalnya untuk menekan Dr. Mahathir supaya berhenti sebagai Perdana Menteri, namun ia juga secara tidak langsung menyerang serta memburukkan Barisan Nasional dan UMNO. Gerakan ini bertambah kukuh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membentuk Pakatan Rakyat (PKR-DAP-PAS).

Lebih kurang setahun sebelum Pilihanraya Umum Ke -14, sekali lagi berlaku pertelingkahan di antara Dr. Mahathir dan Datuk Seri Mohd Najib Razak. Pada kali ini, Dr. Mahathir berada di luar kerajaan manakala Najib di dalam kerajaan.

Akhirnya, Dr. Mahathir bersama segelintir ahli UMNO yang bersemangat Melayu menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan menyertai pakatan pembangkang – Pakatan Harapan (PKRDAP-PAN-PPBM) dengan matlamat untuk menjatuhkan Najib yang dikaitkan dengan isu rasuah dan integriti.

Penolakan sebahagian rakyat khususnya orang Melayu dan segelintir ahli UMNO adalah semata-mata untuk menurunkan Najib daripada kerusi Perdana Menteri kerana dipalitkan dengan isu integriti. Akhirnya, sebahagian daripada kalangan kedua-dua pihak masih terpinga-pinga.

Pihak yang menang telah membentuk kerajaan dalam keadaan terpinga-pinga kerana tiada pengalaman dan persediaan, lantas mengeluarkan kenyataan yang merapu.

Segelintir ahli UMNO yang tersilap pangkah disebabkan perasaan marah kepada pimpinan, terpinga-pinga mengenangkan nasib orang Melayu dan masa depan parti.

Ahli UMNO telah terbiasa sekian kalinya dengan istilah “akur dan taat” kepada pucuk pimpinan, sebab sayangkan parti supaya tidak berpecah, walaupun ada keputusan yang tidak
mematuhi kehendak Perlembagaan.

Oleh kerana sentiasa berfikiran sebagai kerajaan, lanjutan tempoh pemilihan parti selama 18 bulan telah ditambah lagi setahun; untuk mengelakkan perpecahan jika ada pertandingan jawatan sebelum pilihanraya.

Walaupun parti telah kecundang di dalam pilihanraya umum, namun ahli-ahli UMNO dan pendukungnya tetap setia. Mereka sanggup mengadakan mesyuarat serta pemilihan parti di dalam tempoh sepanjang bulan Ramadan tanpa hidangan yang enak seperti sebelumnya.

Alhamdulillah, lebih 90% cawangan telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing. Mereka juga telah berjaya menyusun semula kepimpinan parti di akar umbi.

Tanggal 30 Jun 2018 juga akan mencipta sejarah untuk UMNO. Kali ini gelanggang parti dibuka seluas -luasnya; yang mana semua jawatan peringkat tertinggi dipertandingkan, termasuklah jawatan Presiden (yang buat kali terakhir pertandingan di antara Dr. Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987).

Perkara yang paling menarik ialah kenyataan-kenyataan para pemimpin besar yang menawarkan diri bagi jawatan – jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden
telah memberi aku janji bahawa pertandingan yang berlaku adalah sesama ahli keluarga.

Jika ikut adat orang Melayu, pepatah orang tua ada menyatakan “biduk berlalu kiambang bertaut”. Mudah-mudahan, semua mereka yang berkata itu mengotakan janjinya; yang menang tidak meminggirkan yang kalah, manakala yang kalah tidak meninggalkan
perjuangan menubuhkan parti baharu.

Namun, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula adik-beradik, pasti ada yang terlepas kata dan menyinggung rasa. Namun, kalau semua ikhlas, pasti semua akan berpegang teguh kepada pepatah orang lama; air dicincang tidak akan putus.

Ahli UMNO di akar umbi masih setia. Rakyat yang mendukung perjuangan parti masih percaya kepada UMNO. Mereka masih menaruh harapan untuk UMNO bangkit
semula.

Namun, mereka ingin melihat UMNO bangkit bersama barisan pimpinan yang imejnya sederhana, raut wajah dan senyumannya menyentuh hati, telinganya mendengar suara akar umbi, tingkah lakunya sopan serta akalnya tajam.

Mereka tidak mahu melihat orang yang hendak memimpin parti imejnya penuh dengan korupsi, lagaknya meninggi diri, hidupnya mewah ke sana sini, cakapnya menyakitkan hati dan akalnya setaraf dengan Pak Pandir. Orang -orang yang sebegini dan pernah mencemarkan nama baik parti, seelok-eloknya tidak perlulah menawarkan diri.

Pemilihan bakal penyandang jawatan di dalam UMNO, khususnya di peringkat tertinggi tidak boleh sekadar untuk meletakkan rakan baik menjawat jawatan penting demi kepentingan masa hadapan.

Perwakilan akar umbi yang diberikan hak memilih pemimpin hendaklah membuat pertimbangan berasaskan kepada untuk meletakkan orang yang dihormati. Tugas pemimpin tertinggi bukan sekadar menyusun semula parti, tetapi juga yang lebih penting ialah untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti. – MalaysiaGazette

Penulis adalah Setiausaha, Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor