Noraini Ahmad.
Exco Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO mengecam sekeras-kerasnya tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang membekukan akaun bank milik UMNO dan mendesak supaya pembekuan itu ditarik balik.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, sebagai pertubuhan yang berdaftar secara sah, UMNO telah membentangkan butiran kewangan parti yang kemudiannya diaudit, diterbit dan diluluskan setiap tahun di Perhimpunan Agung UMNO mengikut peraturan ditetapkan.

“Tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini seolah menggambarkan UMNO yang sedang disiasat, bukan 1MDB.

“Kita berpendirian tindakan ini telah mencabuli hak UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah untuk menjalankan aktiviti dan beroperasi dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Pembekuan akaun bank UMNO ini juga seakan sengaja dilakukan untuk melumpuhkan UMNO dan untuk ‘membunuh’ parti UMNO secara perlahan-lahan kerana menyedari parti ini menguasai kerusi terbanyak selepas PRU-14,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Noraini berkata, tindakan membekukan akaun UMNO sudah tentu akan menjadi penghalang bagi parti itu untuk menjalankan aktiviti yang bermatlamat membantu dan membela rakyat.

“Apakah kerajaan PH berniat untuk memberi tekanan kepada UMNO untuk berhenti menjalankan aktiviti dan seterusnya menyebabkan pemberhentian operasi UMNO?

“Wanita UMNO mendesak supaya pembekuan akaun bank milik UMNO ditarik balik supaya UMNO dapat meneruskan aktiviti dan operasi tanpa halangan kerana UMNO bukan 1MDB,” tegasnya.

Ujarnya, pasukan Petugas Khas 1MDB wajib menjalankan tugas mereka dengan telus dan tidak dipengaruhi atau dipergunakan oleh mana-mana pihak yang berniat jahat mengganggu operasi UMNO.

Kata beliau, sehingga bukti kukuh ditemui mengaitkan apa-apa salah laku 1MDB kepada UMNO, kerajaan PH mesti memerintah dengan adil mengikut lunas demokrasi yang telah lama diamalkan sejak sekian lama.

“Jika tidak, Wanita UMNO gusar dan khuatir, Malaysia Baharu di bawah Pakatan Harapan hari ini menuju ke arah menjadi sebuah negara yang autokratik,” katanya. – MalaysiaGazette