Presiden Majlis Peguam, George Varughese mengalu-alukan peletakan jawatan Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.
George Varughese

KUALA LUMPUR – Majlis Peguam mempertikaikan langkah Jawatankuasa Siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bertindak mengumumkan tangkapan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Presidenya, George Varughese jawatankuasa tersebut tidak mempunyai hak daripada sudut undang-undang untuk mengumumkan tangkapan tersebut kerana ia sepatutnya dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis yang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan mengikut lunas perundangan.

“Majlis Peguam terkejut dan keliru dengan kenyataan media jawatankuasa khas 1MDB yang mengumumkan tangkapan Najib pada 2.35 petang berhubung SRC International Sdn Bhd dan bekas perdana menteri itu akan didakwa esok 8.30 pagi.

“Jawatankuasa khas tidak mempunyai hak dari sudut perundangan untuk menangkap Najib. Sebarang tangkapan hanya boleh dijalankan oleh SPRM atau pihak polis,” kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelas Varughese, jawatankuasa khas juga tidak ada kedudukan untuk memutuskan sama ada Najib akan didakwa atau tidak mahu pun bila beliau akan didakwa.

SPRM menahan Najib di rumahnya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur sebelum membawa bekas perdana menteri itu ke ibu pejabat mereka di Putrajaya.

Pasukan Petugas Khas 1MDB memaklumkan Najib akan didakwa di mahkamah esok. – MalaysiaGazette