Datuk Seri Subromaniam Tholasy. Foto SYAFIQ AMBAK, 18 JULAI 2018

KUALA LUMPUR- Jabatan Kastam Diraja Malaysia menafikan kenderaan penumpang bermotor tidak dikenakan cukai jualan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy menjelaskan, barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dalam senarai yang telah dikeluarkan agensi tersebut hanya merujuk kepada komponen tercurai bagi pemasangan kenderaan penumpang (CKD) sahaja.

Katanya, apabila kenderaan tersebut siap dipasang daripada komponen-komponen CKD yang diimport, kenderaan berkenaan adalah tertakluk kepada cukai jualan sebanyak 10 peratus seperti yang dicadangkan kerajaan.

“Susulan daripada senarai yang dimuatnaik, berita berkaitan dengan kenderaan penumpang bermotor tidak dikenakan cukai jualan telah tersebar luas dan Jabatan Kastam ingin memberi penjelasan berkaitan perkara ini.

“Jabatan Kastam ingin menjelaskan bahawa kenderaan penumpang sememangnya dicadang dikenakan cukai jualan.

“Dengan penjelasan ini, Jabatan Kastam berharap isu ini selesai dan tidak mengelirukan rakyat dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selepas Jabatan Kastam memuatnaik cadangan barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan, terdapat satu laporan berita yang mengatakan kereta penumpang di bawah 2000 cc akan dikecualikan daripada cukai.

Antara barangan yang dicadangkan pengecualian cukai jualan adalah barangan penjagaan peribadi seperti deodoran, mandian badan, minyak wangi, kosmetik serta sabun yang mempunyai produk aktif organik.

Selain itu, barang makanan serta haiwan ternakan juga dikecualikan daripada dikenakan cukai yang bakal diperkenalkan semula pada September depan.

Menurut Jabatan Kastam, antara produk lain yang turut dikecualikan daripada cukai jualan adalah susu formula untuk bayi dan kanak-kanak, napkin, tuala wanita dan tampon.

Mempunyai senarai yang jauh lebih panjang daripada barangan yang dikecualikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) , Jabatan Kastam memuatkan senarai penuh barangan yang dikecualikan SST dalam  kertas cadangan setebal 300 muka surat di laman webnya sejak pagi tadi. Ianya boleh diakses melalui http://www.customs.gov.my/ms/Pages/sst.aspx-MalaysiaGazette